Nelo Vingada enggan mengulas sama ada Datuk Seri Subahan Kamal masih memegang jawatan pengurus skuad kebangsaan walaupun kelibat tokoh berusia 51 tahun itu tidak kelihatan sejak skuad negara tiba di Hong Kong, Jumaat lalu.

Bagi Vingada, tugasnya adalah untuk melatih skuad negara dan menyerahkan isu lain kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menentukannya sambil menjelaskan dia diberitahu bahawa Subahan akan tiba di Hong Kong hari ini.

"Subahan memberitahu saya dia akan terbang hari ini dan akan bersama kami pada malam ini. Jadi, bagi saya dia mempunyai hubungan yang baik dengan saya dan pasukan. Dia akan bersama kami dan masih menjadi sebahagian daripada kami.

"Tugas saya adalah sebagai ketua jurulatih. Saya perlu memantau dan mengikuti perkembangan pasukan. Sudah pasti, FAM akan mencari penyelesaian terbaik untuk pasukan," katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, yang bersama skuad negara di Hong Kong turut tidak mahu mengulas mengenai perkara itu.