Jurulatih skuad Harimau Malaya, Nelo Vingada, tidak akan meletakkan jawatan kerana percaya masih mampu untuk membantu pasukan kebangsaan sekalipun dikritik hebat selepas tewas 0-2 di tangan Hong Kong dalam kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Hong Kong, semalam.

Jurulatih berusia 64 tahun itu masih belum melakar sebarang kemenangan selepas mengharungi tiga perlawanan dalam kempen itu -- tewas 1-2 kepada Lubnan, seri 1-1 dengan Hong Kong sebelum tunduk 0-2 kepada pasukan sama, semalam.

Melihat kepada keputusan itu, kredibiliti jurulatih dari Portugal itu dipertikaikan oleh sesetengah pihak, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus berusaha memperbaiki prestasi pasukan.

Jelas Vingada, tiada alasan kukuh untuknya meletakkan jawatan ketika ini, sebaliknya memberi jaminan skuad negara pasti bangkit dan belajar daripada kesilapan.

"Ketika saya tiba, pasukan dalam keadaan teruk dan ia masih dalam kedaan teruk. Jika saya yang membawa masalah ini, lebih baik saya tidak akan kekal.

"Tetapi, seperti yang saya katakan, Persatuan (Bolasepak Malaysia), pemain saya dan (Presiden FAM) Tunku (Ismail Sultan Ibrahim) masih mempercayai kebolehan saya.

"Saya akan berusaha untuk membuktikan Malaysia mampu berada pada tahap lebih baik daripada sekarang," katanya selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), petang tadi.

Mengulas venue aksi seterusnya berdepan Korea Utara, Vingada enggan lagi menunggu terlalu lama dan berharap Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dapat membuat keputusan secepat mungkin.

"Ia adalah sesuatu perkara yang harus diselesaikan dalam kadar segera oleh AFC. Keadaan ini tidak baik untuk kedua-dua pasukan. Saya sangat suka bekerja di Asia tetapi AFC perlu menyelesaikan perkara ini," katanya.

Sementara itu, usaha untuk mendapatkan kapten pasukan, Safiq Rahim, gagal apabila dia mengelak daripada ditemubual oleh pihak media selepas mencetus kontroversi dilayangkan kad merah dalam aksi di Hong Kong.

Sejak mengambil alih tugas mengendalikan skuad negara daripada Datuk Ong Kim Swee pada Mei lalu, Vingada masih gagal membimbing pasukan mencatat sebarang kemenangan daripada lima perlawanan dalam semua pertandingan.