Jurulatih dari Perancis, Steve Vilmiare, kini sah menjadi pengendali skuad Sang Badak musim depan selepas dia menandatangani kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) di Kota Kinabalu, semalam.

Vilmiare, 31, dikatakan mengikat kontrak selama setahun dengan Sabah sebagai ketua jurulatih berkuatkuasa semalam.

Ketika ditemui, jurulatih yang memiliki kelayakan lesen A Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) itu gembira kerana diberi peluang mengendalikan skuad senior Sang Badak.

Vilmiaire, 31, bertekad untuk cuba mengembalikan zaman kegemilangan pasukan berkenaan.

"Sabah adalah sebuah negeri yang mempunyai sejarah bola sepak yang amat baik, malah telah melahirkan ramai pemain berbakat.

"Walaupun diberi tanggungjawab untuk mengendalikan sebuah pasukan yang majoritinya dibarisi pemain muda, saya akan menyahut cabaran itu bagi membentuk sebuah pasukan yang kuat," katanya.

Terdahulu, seorang lagi jurulatih dari Perancis, Adlane Messelem, 38, turut menandatangani kontrak selama setahun dengan SAFA sebagai pengarah sukan skuad berkenaan.

Majlis menandatangi kontrak itu turut dihadiri Timbalan Presiden 2 SAFA, Datuk Lawrence Gimbang dan Setiausaha Eksekutif SAFA, Hasbullah Yahya.