Pengurus New York City, Patrick Vieira, menyifatkan spekulasi mengaitkannya bersedia untuk mengendalikan Nice sebagai sesuatu yang di luar jangkaan.

Vieira dilaporkan dengan jawatan yang ditinggalkan Arsene Wenger di Arsenal, namun situasi tampak tidak akan berlaku setelah bekas pengendali Paris Saint-Germain, Unai Emery, dilihat bakal menduduki kerusi panas di Emirates itu.

Pada bulan lalu, Vieira menegaskan dirinya telah bersedia untuk mengendalikan mana-mana pasukan di Eropah, sekaligus membuatkan dirinya menjadi calon hangat untuk ke Nice, susulan penghijrahan Lucien Favre ke Borussia Dortmund.

Dia dilihat berada di Perancis pada hujung minggu lalu tetapi Vieira menegaskan dirinya berada di tanah airnya bukan atas sebab perbincangan dengan pihak Nice.

"Ia membuatkan saya tersenyum kerana tiada sebarang kontrak yang ditandatangani," kata Vieira.

"Maklumat itu sesuatu yang palsu. Saya masih bersama New York City dan menikmati pekerjaan saya. Ketika ini, saya hanya fokus untuk perlawanan seterusnya.

"Saya tidak mahu pemain-pemain, diri sendiri, staf pasukan serta sesiapa sahaja di dalam pasukan terganggu dengan apa yang berlaku. Dalam kepala dan tenaga saya hanya berada di sini.

"Saya memiliki hubungan yang baik dengan orang ramai dalam pasukan ini. Kami sudah jelas mengenainya dan ia sangat penting. Dalam masa sama, saya membiarkan orang lain melakukan kerja mereka dan mereka berhak mengatakan apa sahaja."

Selepas menewaskan Colorado Rapids di laman sendiri dalam aksi terakhir, New York City kini berada di tangga kedua Wilayah Timur Bolasepak Liga Utama (MLS), di belakang Atlanta United.