Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kini hanya menunggu kata putus Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berhubung venue perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia 2019 berdepan Korea Utara selepas Kerajaan Malaysia tidak membenarkan skuad bola sepak negara beraksi di Pyongyang.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, menghubungi beliau untuk memaklumkan bahawa kerajaan Malaysia tidak mahu skuad negara bermain di Pyongyang atas faktor keselamatan.

Situasi itu berkaitan keputusan kerajaan mengusir duta Korea Utara, Kang Chol, kelmarin yang menjadikan situasi semasa tidak selamat.

Hamidin menegaskan FAM telah memaklumkan hasrat mereka kepada Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John, untuk memohon aksi sulung Kumpulan B pusingan kelayakan Piala Asia berkenaan diadakan di gelanggang berkecuali.

"Kabinet telah membuat keputusan untuk tidak membenarkan pasukan kebangsaan pergi. Saya juga telah menghubungi Datuk Windsor yang ketika ini berada di Kemboja.

"Hari ini juga saya telah menghantar surat kepada AFC bersama-sama dengan lampiran surat daripada Kementerian Belia dan Sukan sebagai wakil kerajaan," jelasnya.

Hamidin tidak menolak kemungkinan China menjadi destinasi pilihan, dengan perlawanan akan diadakan di Beijing kerana faktor logistik yang lebih dekat dengan Korea Utara.

Tambahnya: "Ini adalah keputusan AFC tetapi kemungkinannya ia akan dipindahkan ke Beijing. Apa pun yang mustahaknya kami tidak akan bermain di Pyongyang."