Pertahanan Real Madrid, Raphael Varane, menolak untuk bercakap mengenai masa depannya tatkala spekulasi kian hangat.

Menurut laporan, Varane sedang mempertimbangkan untuk meninggalkan Madrid bagi mendapatkan cabaran baru setelah menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah empat kali dan dua gelaran LaLiga sejak 2011.

Bagaimanapun, pemain berusia 25 tahun itu tidak mahu bercakap soal masa depannya di Santiago Bernabeu.

"Saya tidak mahu bercakap tentang masa depan saya," kata Varane yang sedang dalam persiapan bersama skuad kebangsaan Perancis menjelang aksi kelayakan Euro 2020 berdepan Moldova dan Iceland.

"Bukan saya untuk bercakap mengenainya di khalayak ramai."

Varane kini kembali bersama pengendali senegara, Zinedine Zidane, yang memegang semula jawatan pengurus Los Blancos susulan pemecatan Santiago Solari.

Zidane meninggalkan kota Madrid selepas mengemudi kelab itu menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali ketiga berturut-turut sebelum kembali dilantik awal bulan ini.

"Sembilan bulan bukan tempoh yang lama. Ia ibarat semalam," tambah Varane.

"Saya menghargainya sebagai seorang individu dan jurulatih. Zidane sangat penting buat saya."