Virgil Van Dijk menegaskan pertemuan Belanda dan Jerman dalam aksi kelayakan Euro 2020 akan menjadi aksi istimewa sambil menyasarkan untuk mengulangi kemenangan 3-0 dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA, Oktober lalu.

Pertahanan Liverpool itu menyumbat gol pembukaan di Johan Cruijff Arena sebelum Memphis Depay dan Georginio Wijnaldum mengesahkan kemenangan ketika itu.

Kedua-dua pasukan terikat 2-2 di Gelsenkirchen sebulan kemudian, yang menyaksikan Van Dijk menghasilkan gol penyamaan dalam waktu kecederaan bagi membolehkan Belanda bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk meraih keputusan seri dan naik ke tangga teratas kumpulan.

Menjelang aksi awal pagi esok, Van Dijk memberitahu wartawan: "Ia adalah perlawanan istimewa yang dipenuhi dengan sejarah. Ia sentiasa memberikan tambahan elemen dan semua orang perlu melaluinya.

"Saya dapat rasakannya. Kini, kami dalam tempoh di mana kutipan mata lebih penting. Aksi esok akan menjadi perlawanan istimewa.

"Saya rasa anda sentiasa perlu bersedia untuk mewakili pasukan kebangsaan atau kelab. Kali ini, anda mesti lakukannya. Saya tidak lagi risau tentangnya dan yakin rakan sepasukan telah bersedia."

Belanda hanya tewas sekali dalam 10 perlawanan terakhir menerusi satu peningkatan prestasi yang mendadak, termasuk kemenangan 4-0 ke atas Belarus baru-baru ini.

Van Dijk sekali lagi menghasilkan gol dalam aksi tersebut, namun dia berkata jaringan yang diraih hanya satu bonus dan dia menyasarkan keputusan positif menentang Jerman kendalian Joachim Low itu.

"Saya rasa kami boleh dapatkan keputusan baik dan satu jaringan daripada saya adalah bonus," tambah Van Dijk.

"Kami bermain untuk menang. Dalam pertemuan terakhir, kami agak bernasib baik. Kami menyumbat gol penyamaan di saat-saat akhir dan ia membuatkan anda gila.

"Ia saingan yang sukar kerana lawan banyak bergerak dan perubahan posisi kerap berlaku. Mereka menyumbat gol pada detik yang tepat dan itu sesuatu yang anda perlu pelajari.

"Sebagai sebuah pasukan, kami perlu lebih tersusun dan berdisiplin. Saya rasa kami sudah belajar daripada kesilapan lalu."