Virgil van Dijk menyertai perbalahan di antara rakan sepasukannya di Liverpool, Dejan Lovren, dan kapten Real Madrid, Sergio Ramos, dengan menyifatkan pemain Sepanyol itu bukan pertahanan pilihannya.

Lovren mengutuk Ramos sebelum kemenangan Croatia ke atas Sepanyol dalam Liga Negara-Negara Eropah, kelmarin dengan berkata pertahanan itu hanya kelihatan hebat disebabkan rakan sepasukan lain di Real Madrid.

Dia turut mengirimkan sebuah video dengan kata-kata kesat terhadap Ramos sebelum turut memuat naik gambarnya menewaskan pertahanan Sepanyol itu dalam perebutan bola di udara menerusi laman Instagram miliknya.

Ramos cuba meredakan ketegangan dengan mendakwa dia tidak berminat untuk membalas kritikan itu sewaktu sidang media sebelum perlawanan, namun Lovren menyatakan skuad kendalian Luis Enrique itu tewas dengan kekurangan kelas.

Van Dijk -- yang membantu kemenangan 2-0 Belanda ke atas Perancis -- tampil memberi sokongan kepada Lovren dengan berkata rakan sepasukan Ramos di Madrid, Raphael Varane, lebih baik berbanding pemain itu.

"Dia sememangnya pemain yang baik dan saya menghormatinya.

"Namun, dia bukan pertahanan terbaik. Dia bukanlah pertahanan pilihan saya.

"Saya lebih memilih rakan sepasukannya di Real Madrid, Varane.

"Dia merupakan pertahanan terbaik dan memenangi banyak kejuaraan," katanya kepada De Telegraaf.

Ketegangan di antara Lovren dan Ramos bermula ketika aksi final Liga Juara-Juara Eropah musim lalu apabila Ramos melakukan terjahan keras ke atas Mohamed Salah yang menyaksikan penyerang itu terpaksa dikeluarkan sepanjang baki perlawanan dengan Liverpool tewas 1-3 kepada Real Madrid.