Ernesto Valverde meletakkan dirinya dalam keadaan berwaspada walaupun Barcelona menundukkan AS Roma 4-1 aksi sebelum ini menjelang suku akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah di Stadium Olimpico, awal pagi esok.

Luis Suarez menjadi watak utama dalam menghadiahkan kemenangan buat Barca minggu lalu tetapi jaringan tunggal Edin Dzeko di Camp Nou menjadi amaran akan ancaman yang mampu diberikan anak-anak buah Eusebio Di Francesco di tempat sendiri.

"Mereka bakal tampil dengan aksi lebih hebat esok kerana jika anda cuba mengejar, sasaran anda pastinya mahu mencari gol pertama dan kami harus sentiasa berwaspada dengannya," kata Valverde.

"Saya sering memikirkan kami mampu tewas, sama seperti kebarangkalian untuk kami menang. Kami tahu kami mempunyai pelbagai cara untuk menjaringkan gol tetapi mereka juga memiliki barisan pemain yang bagus, membuatkan kami harus bersedia.

"Kami juga sedar Lionel Messi sering menjadi perbezaan dalam sesebuah perlawanan dan buat mereka, Dzeko adalah contoh terbaik," tambahnya.

Barca tampak telah belajar daripada apa yang dilalui pada musim lalu, apabila bangkit daripada ketinggalan 4-0 di Parc Des Princes sebelum menewaskan Paris Saint-Germain (PSG) 6-1 dalam pusingan kedua Liga Juara-Juara.

"Kesilapan terbesar kami adalah sekiranya menganggap kami sudah berada dalam separuh akhir.

"Kami tidak boleh terlalu yakin. Menjangkakan keputusan lebih awal sangat bahaya," katanya lagi.