Pengurus Barcelona, Ernesto Valverde, menolak dakwaan bahawa pasukannya akan mendapatkan khidmat Paul Pogba.

Bintang Manchester United itu dilaporkan mengalami masalah di old Trafford selepas dikatakan tidak sehaluan dengan pengendali, Jose Mourinho.

Bagaimanapun, Mourinho menafikan khabar angin itu semalam sambil mendedahkan dia tidak pernah gembira seperti sekarang bersama pemenang Piala Dunia itu.

Pogba akan mengekalkan lilitan ketua pasukan dalam aksi liga bertemu Brighton and Hove Albion di laman lawan esok tetapi masa depan bekas tonggak Juventus itu tetap menjadi persoalan.

Barca dilihat sebagai destinasi pilihan Pogba memandangkan Valverde dijangka mencari pengganti untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Andres Iniesta.

Namun, menjelang aksi pembukaan LaLiga berdepan Deportivo Alaves malam ini, Valverde menolak untuk berbicara tentang minat pasukannya terhadap Pogba.

"Kami tidak mahu berbincang mengenai pemain daripada pasukan lain," katanya.

"Kami mahu mereka menghormati pemain kami dan begitu juga dengan Barcelona."

Barca mendapatkan dua pemain Brazil, Arthur dan Malcom, dalam usaha untuk mempertahankan trofi LaLiga sambil Arturo Vidal turut hadir ke Camp Nou daripada Bayern Munich.

Walaupun Valverde terbuka untuk menerima kedatangan pemain baru sebelum jendela perpindahan di Sepanyol tamat, dia menegaskan berpuas hati dengan senarai pemain yang dimiliki ketika ini seandainya tiada sebarang nama baru yang tiba.

"Saya tidak berhenti membandingkan pasukan terkini dengan sebelum ini tetapi saya tetap mempunyai beberapa pemain hebat," tambahnya.

"Saya tidak pasti sama ada skuad sudah ditutup atau tidak. Kami memiliki skuad yang mantap untuk mengharungi segala cabaran tetapi masih ada masa.

"Pasaran semakin hampir untuk ditutup dan terdapat banyak khabar angin tetapi kami akan meneruskan usaha sehingga 31 Ogos. Saya gembira dengan apa yang dimiliki ketika ini."