Ketua jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde, tidak gusar dengan kemarau jaringan Luis Suarez selepas penyerang itu terus bergelut untuk menjaringkan gol ketika pasukannya diikat Lyon 0-0 dalam Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.

Penyerang kebangsaan Uruguay itu cemerlang dalam separuh pertama musim ini, namun dilihat kurang efektif di depan gol sejak tempoh itu.

Keadaan itu turut menggambarkan situasi terkini Barca, yang seri empat kali dalam lima pertemuan terakhir.

Suarez mencuri tumpuan dalam aksi pertama pusingan 16 di Perancis itu menerusi beberapa percubaan berbahaya, namun dia perlu lebih tajam di depan gol bagi mengelakkan kekecewaan.

Ia merupakan perlawanan kelima berturut-turut di mana Suarez gagal menghasilkan sebarang gol.

Dia juga melewati tempoh 24 jam waktu permainan dalam Liga Juara-Juara tanpa sebarang jaringan.

Bagaimanapun, situasi itu tidak merisaukan Valverde.

"Saya akan risau jika dia gagal melakukan sebarang percubaan kerana itu adalah tugas seorang penyerang.

"Dia sentiasa melakukan percubaan atau setidak-tidaknya, dia akan membantu mencipta percubaan.

"Dia sentiasa memeningkan kepala pihak lawan dan dalam setiap keadaan, dia sentiasa memberikan apa yang kami harapkan daripadanya.

"Bola sepak hanya tentang kejayaan.

"Jika pihak lawan mensia-siakan peluang, saya menjadi gugup.

"Jika kami melakukan perkara sama, ia hanya merisaukan saya," katanya.