ATHLETIC BILBAO 1 VALENCIA 1

Hasrat Valencia untuk melonjak ke tangga ketiga liga tertangguh apabila sekadar mencatat keputusan seri 1-1 ketika bertemu Athletic Bilbao dalam aksi liga di San Mames Barria, awal pagi tadi.


Sebelum aksi bermula, skuad Los Che yang dibimbing Marcelino Garcia itu berada dua mata di belakang Real Madrid yang menduduki tangga ketiga, namun mereka memiliki kelebihan satu perlawanan, sekali gus kemenangan ke atas Bilbao akan membolehkan Valencia memintas juara bertahan LaLiga itu.

Usaha itu dibuktikan dengan jaringan pembukaan oleh pemain tengah dari Perancis, Geoffrey Kondogbia, pada minit ke-23.

Larian Ferran Torres dari sebelah kanan memberikan ruang buat Kondogbia yang sempat melihat posisi penjaga gol, Kepa Arrizabalaga, sebelum melepaskan rembatan kaki kiri untuk menjadikan kedudukan 1-0.

Tuan rumah berpeluang menyamakan kedudukan 13 minit kemudian apabila Markel Susaeta dijatuhkan Jeison Murillo di dalam kotak penalti, namun sepakan Aritz Aduriz dinafikan oleh Neto.

Kawalan bola pada hampir segenap ruang sejak babak kedua dimulakan, membolehkan tuan rumah meraih gol yang dicari-cari ketika separuh masa kedua berusia empat minit apabila pertahanan kanan, Oscar de Marcos, melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti untuk mengikat kedudukan 1-1.

Penyudah tumpul di depan gawang membuatkan Bilbao terlepas untuk meraih tiga mata apabila dua serangan menerusi Aduritz dan Raul Garcia sekadar melewati palang gol sementara sepakan percuma Daniel Parejo pada minit ke-78 tepat ke dakapan Arrizabalaga.

Kedudukan 1-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan, meletakkan Valencia terus kekal di tangga keempat liga berbekalkan 50 mata.