Ketua jurulatih skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, enggan fokus anak buahnya terkesan dengan kekalahan skuad senior sambil menagih kehadiran 'pemain ke-12' dalam aksi pertama Kejohanan Kelayakan AFC B-23 dengan Filipina di Stadium Shah Alam, malam esok.

Skuad senior kebangsaan mengundang kritikan hebat daripada peminat selepas mempamerkan aksi buruk ketika tewas 0-1 kepada Singapura dalam Piala Airmarine semalam.

Esok, tiba giliran skuad B-22 negara beraksi dan peminat sudah pasti mengharapkan keputusan positif daripada aksi pertama peringkat kelayakan itu.

Kim Swee, bagaimanapun, enggan barisan pemainnya tertekan dengan situasi itu, sebaliknya mahukan mereka mengekalkan ketenangan untuk melunaskan misi wajib menang dengan Filipina itu.

"Sememangnya terdapat perbezaan di antara skuad senior dan skuad B-22 negara.

"Sudah pasti ia merupakan keputusan yang mengecewakan semalam, namun skuad B-22 negara sudah melakukan persiapan sejak dua minggu lalu dan barisan pemain saya kelihatan lebih baik dari hari ke hari.

"Kami mahu layak ke Bangkok (pusingan akhir Kejohanan AFC) dan tidak akan bersikap sambil lewa dalam menghadapi setiap perlawanan," katanya.

Dalam aksi membabitkan skuad senior di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam, sambutan yang diberikan peminat amat suram dengan hanya kira-kira 4,000 penyokong mengisi tempat duduk penonton di stadium yang berkapasiti 90,000 penyokong itu .

Justeru, Kim Swee berharap suasana berbeza akan dilalui pasukannya di Stadium Shah Alam bagi meningkatkan semangat mereka.