Manchester United bakal berdepan Paris Saint-Germain (PSG) dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) tatkala Liverpool diundi menentang juara Bundesliga, Bayern Munich.

Pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool, yang dibimbing Jurgen Klopp bakal berdepan cabaran bekas musuh ketat pengendali itu di Jerman sewaktu mengurus Borussia Dortmund, Bayern Munich.

PSG menjuarai kumpulan yang turut dibarisi Liverpool dan Napoli tatkala pertemuan pusingan 16 pastinya mampu menjadi penyelamat buat Jose Mourinho selepas mengharungi musim yang tidak konsisten bersama United.

Dortmund akan berdepan Tottenham Hotspur dan melengkapkan trio pertemuan wakil Jerman dan England adalah Schalke yang diundi menentang skuad bimbingan Pep Guardiola, Manchester City.

Atletico Madrid, yang bakal menjadi hos untuk final edisi kali ini di Wanda Metropolitano, diundi berdepan Cristiano Ronaldo dan gergasi Itali, Juventus.

Lionel Messi serta rakan sepasukan di Barcelona akan duji oleh Olympique Lyon yang merakamkan kemenangan ke atas Manchester City sebelum mencatat lima keputusan seri, sekali gus melangkah ke pusingan 16 tanpa sebarang kekalahan.

Juara bertahan, Real Madrid, yang sedang dalam usaha untuk menjulang trofi Liga Juara-Jura buat kali keempat berturut-turut, perlu melepasi halangan Ajax, pasukan yang gagal ditundukkan Bayern ketika peringkat kumpulan sambil satu lagi perlawanan menyaksikan AS Roma diundi bertemu FC Porto.

Perlawanan pertama akan dijalankan pada 13, 14 dan 19,20 Februari sebelum aksi timbal balik berlangsung pada 5,6 dan 12, 13 Mac depan.