Chelsea bakal berdepan Malmo dalam pusingan 32 Liga Europa tatkala Arsenal diundi menentang BATE.

Skuad kendalian Maurizio Sarri dan Unai Emery itu masing-masing mara ke pusingan kalah mati selaku juara kumpulan, maka kedua-dua pasukan akan terlebih dahulu bertandang ke tempat lawan.

Pemenang lima kali, Sevilla, diundi bertemu Lazio, sekali gus bakal berdepan empat bekas pemainnya, iaitu Luis Alberto, Joaquin Correa, Martin Caceres dan Ciro Immobile.

Napoli, selaku pilihan untuk menjuarai edisi kali ini selepas disingkirkan oleh Paris Saint-Germain (PSG) dan Liverpool daripada saingan Liga Juara-Juara Eropah, akan menanti cabaran Zurich.

Satu lagi kelab Serie A, Inter Milan, yang turut tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara, bakal menentang Rapid Vienna yang baru sahaja membelasah kelab jiran, Austria Vienna, 6-1 Ahad lalu.

Juara Liga Perdana Scotland, Celtic, menghadapi ujian getir apabila diundi bertemu Valencia tatkala wakil LaLiga itu tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara setelah diketepikan oleh Manchester United dan Juventus.

Kelab Bundesliga yang mara ke pusingan kalah mati selaku juara Kumpulan A, Bayer Leverkusen, akan melalui perjalanan jauh susulan undian yang menyaksikan pertemuan dengan Krasnodar.

Lain-lain perlawanan menyaksikan Galatasaray lawan Benfica, Olympiacos lawan Dynamo Kiev, Rennes lawan Real Betis dan Sporting Lisbon bertemu Villareal.