Pertahanan Perancis, Samuel Umtiti, kini dalam keadaan tenang untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi aksi Piala Dunia 2018 selepas menandatangani kontrak baru bersama Barcelona.

Pemain berusia 24 tahun itu dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United pada awal tahun ini tetapi kini telah bersetuju dengan kontrak baru selama lima tahun di Camp Nou.

Dia yang menuju ke Russia selepas mengharungi kempen cemerlang bersama Barca, dengan memenangi kejuaraan Piala Raja Sepanyol dan Laliga, berharap dapat meningkatkan prestasi untuk pasukan negaranya berbanding aksi ketika Kejohanan Eropah, dua tahun lalu.

Les Bleus ditumbangkan oleh Portugal di pentas akhir sambil Umtiti kemudian melengkapkan perpindahannya dari Lyon ke Barca dan kini dia boleh terus fokus untuk aksinya bersama Perancis.

"Sejak memperbaharui kontrak, saya rasa lega dan boleh hanya menumpukan aksi di atas padang. Saya telah melalui proses perpindahan ketika aksi Piala Eropah dan lebih baik dalam keadaan sebegini," ujar Umtiti.

Perancis bakal memulakan saingan Piala Dunia pada 16 Jun berdepan Australia, sebelum menghadapi Peru serta Denmark, dan harapan kini menggunung buat skuad bimbingan Didier Deschamps itu untuk mengulangi kejayaan 20 tahun lalu.

"Dalam pasukan ini, terdapat beberapa pemain muda dan ada juga yang berpengalaman. Apa yang membuatkan kami kuat adalah kami bersatu.

"Kami harus beraksi dengan serius tetapi tanpa sebarang tekanan."