Tafakur selama seminit akan diadakan sebelum perlawanan Liga Juara-Juara dan Liga Europa minggu ini sebagai mengingati pemergian kapten Fiorentina, Davide Astori, demikian pengesahan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA).

Kelab Serie A itu mengumumkan kematian Astori, semalam, hanya beberapa jam sebelum mereka menghadapi Udinese.

Pemain pertahanan berusia 31 tahun itu ditemui meninggal dunia di bilik hotelnya di Udine selepas gagal turun untuk bersarapan pagi bersama rakan sepasukannya.

Perlawanan Fiorentina di Udinese dan semua aksi dalam kalendar liga utama Itali, awal pagi tadi, ditunda bagi menghormati pemergian pemain antarabangsa Itali itu.

Kelab-kelab di seluruh Eropah juga akan memberi penghormatan, termasuk skuad Serie A, Juventus, AC Milan dan Lazio.

Juve membuat kunjungan ke Tottenham untuk aksi timbal balik pusingan 16 Liga Juara-Juara, di mana kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam perlawanan pertama, sementara Milan dan Lazio masing-masing menghadapi Arsenal dan Dynamo Kiev di peringkat sama dalam Liga Europa.

Pengebumian Astori akan diadakan di Basilica Di Santa Croce, Florence.