Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mencabar pasukan yang tidak berpuas hati dengan hukuman oleh Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) untuk menarik diri daripada saingan Liga Malaysia musim ini.

Beberapa pasukan berdepan hukuman denda dalam bentuk wang ringgit dan penangguhan pemotongan mata oleh FMLLP selepas gagal memenuhi kriteria pendaftaran pemain bagi musim 2018.

Mereka membabitkan empat pasukan Liga Super serta enam lagi yang beraksi dalam saingan Liga Perdana.

Pasukan Liga Super Kelantan, PKNS FC, Selangor dan Kuala Lumpur bakal dikenakan denda RM1.5 juta manakala pasukan Liga Perdana, antaranya Pulau Pinang dan MISC-MIFA, perlu membayar denda RM500,000.

Lantas, timbul rasa kurang puas hati sehingga ada pasukan membuat “ugutan” untuk menarik diri.

"Kamu ada masa dan ruang untuk hantar rayuan. Kami akan mempertimbangkan tetapi denda tetap kena denda. Berapa jumlah? Kita tidak tahu. Mungkin jadi kurang.

"Ada juga baru-baru ini yang cakap kalau macam ini baik tarik diri. Saya nasihatkan kepada mereka pergi tarik diri. Kalau kamu tidak boleh bekerja, tidak guna.

"Kalau semua nak percuma sampai bila?" kata Tunku Ismail selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Kali Ke-4 di Johor Bahru, hari ini.

Dalam pada itu, Tunku Ismail amat berdukacita dengan kualiti pengadil yang tidak menepati piawaian yang ditetapkan.

Lantaran itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd Salleh, perlu menghantar laporan lengkap prestasi pengadil tempatan selain pilihan untuk mengingkatkan lagi kualiti mereka.

"Kes yang baru-baru ini dalam pertandingan AFC apabila pengadil kita membuat kesilapan, bukan hanya dalam AFC tetapi juga melakukan kesilapan di sini juga.

"Saya tahu individu tersebut. Bagi saya, pengadil tersebut tidak patut jadi pengadil lagi dalam negara ini. Perkara ini menimbulkan pelbagai spekulasi," ujarnya.