TRW tiada sasaran besar musim ini

By Shaiful Shamsudin 20 January 2017
TRW tiada sasaran besar musim ini
"Cukup sekadar kekal dalam Liga Super tanpa sasaran utama musim ini." Penaja utama pasukan Kelantan, Tan Sri Annuar Musa, berkongsi harapannya sempena Maajlis Pelancaran Jersi The Red Warriors (TRW) 2017, hari ini. 

Sedar dengan isu kritikan terhadap pasukan ini, jadi wajarlah Kelantan tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi untuk musim 2017. 

Namun, janji Annuar buat penyokong setia, Kelantan akan kembali bangkit melakar kejutan musim depan, khususnya dalam mencari pemain terbaik bertaraf antarabangsa.

"Saya bercadang untuk melantik seorang pencari bakat untuk pergi ke seluruh negara bagi meninjau pemain-pemain terbaik musim depan. 

"Saya berazam musim 2018 adalah tahun bola sepak, saya mahu menjuarai semuanya," ujarnya.

TRW turut diperkuatkan pemain import, Muhammad Ghaddar, yang kembali ke Kota Bharu untuk bergandingan dengan Alesandro Celin dari Brazil di bahagian serangan, pemain Senegal, Morgaro Gomis dan Mamadou Danso, yang pernah beraksi dalam liga bola sepak Amerika Selatan. 

Bagaimanapun, skuad Kelantan masih kekurangan dana berjumlah hampir RM4 juta dan sedar dengan saranan Annuar itu, Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Seri Afandi Hamzah, berjanji akan mengambil langkah proaktif dalam memastikan agenda mereka itu tercapai. 

"Kami akan sentiasa bersama dengan Tan Sri Annuar Musa sebagai penasihat dan juga ketua kepada konsortium untuk terus merancang perkara-perkara seperti ini. 

"Tapi kami tahu, tanggungjawab ini adalah tanggungjawab KAFA untuk diselesaikan," kata Afandi.
 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment