Bantuan daripada tonggak senior banyak membantu Mohamadou Sumareh menyesuaikan diri bersama skuad kebangsaan dalam usahanya merebut tempat bagi kempen Piala Suzuki AFF 2018, bulan depan.

Sumareh antara muka baru dalam kem latihan skuad negara kendalian Tan Cheng Hoe menjelang persiapan menghadapi kejohanan itu.

Bagaimanapun, dia tidak berdepan kesukaran menyesuaikan diri dengan bantuan daripada pemain-pemain senior seperti Khairul Fahmi Che Mat, Zaquan Adha Abdul Radzak dan Norshahrul Idlan Talaha.

"Zaquan, terutamanya, banyak membantu saya. Dia memberitahu kepada pemain-pemain lain bahawa saya berada dalam tekanan dan mereka perlu membantu saya.

"Dia bercakap dengan nada yang sangat lembut kepada saya. Saya sangat gembira di sini.

"Mereka melayan saya dengan baik. Mereka mendorong saya sejak hari pertama saya bersama mereka. Saya tidak rasa seperti orang Gambia, sebaliknya sebagai rakyat Malaysia," katanya.

Sumareh membuat penampilan sulung bersama skuad negara ketika aksi persahabatan menentang Sri Lanka di Colombo, Jumaat lalu, apabila dimasukkan sebagai pemain gantian.

Jelas dia memaparkan aksi yang cukup baik apabila memperoleh dua jaringan dalam membantu Malaysia melakar kemenangan 4-1.

Bagi Sumareh, jaringan itu meningkatkan keyakinan dirinya, namun menganggap aksi persahabatan menentang Kyrgyzstan di Melaka malam ini sebagai satu cabaran yang lebih besar.

"Setiap kali seseorang pemain menjaringkan gol, mereka pasti mahu mengulanginya dalam perlawanan akan datang. Ia baik untuk meningkatkan tahap keyakinan pemain.

"Apa yang penting bukan sekadar jaringan tetapi kemenangan yang lebih utama. Saya mahu memberikan persembahan terbaik buat Malaysia," tambahnya.