Ketua jurulatih Brazil, Tite, menafikan Real Madrid telah menghubunginya untuk jawatan pengurus pasukan susulan peletakan jawatan Zinedine Zidane.

Kontrak Tite bersama Selecao akan tamat sebaik sahaja Piala Dunia 2018 berakhir dan dia memilih untuk menunggu sehingga selesai urusan di Russia bagi menentukan masa depannya.

Akhbar Brazil, O Gobbo, melaporkan bahawa pengurus berusia 57 tahun itu berada dalam senarai calon buat Madrid sambil hubungan baiknya dengan Neymar menjadi faktor.

Bagaimanapun, Tite menafikan spekulasi itu sambil menegaskan dirinya menghormati kontrak dan mahu fokus kepada aksi Brazil bagi saingan Piala Dunia 2018 di Russia.

"Apabila ia melibatkan pendapat, ia berhak menerima penghormatan saya. Apabila mengeluarkan kenyataan, ia adalah tipu dan saya tidak berprinsip. Itu cara saya," kata Tite.

"Saya tidak berhubung dengan sesiapa. Ejen saya, Gilmar Veloz, tidak bercakap dengan sesiapa.

"Saya sangat menghormati situasi saya ketika ini dan sedar akan tanggungjawab serta matlamat bersama pasukan Brazil."

Tite bakal menamakan Neymar dalam kesebelasan utama buat kali pertama sejak bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu mengalami kecederaan patah tulang metatarsal pada Februari lalu.