Meskipun hukuman denda bagi pasukan yang gagal dan lewat melengkapkan pendaftaran Liga Malaysia tampak keterlaluan, pemerhati bola sepak negara berpandangan ia adalah tindakan boleh diterima berbanding pemotongan mata yang dianggap lebih drastik.

Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), Selasa lalu, memberi 'peluang kedua' kepada 10 pasukan yang gagal dan lewat melengkapkan dokumen pendaftaran Liga Malaysia 2018.

Ia menerusi penangguhan hukuman pemotongan mata kepada pasukan terbabit, namun menetapkan dua hukuman lain, iaitu sekatan perpindahan dan denda berbentuk wang ringgit.

Hukuman denda mencetus sensasi kerana melibatkan kos yang tinggi, RM1.5 juta, kepada empat pasukan Liga Super dan RM500,000 kepada enam pasukan Liga Perdana.

Sehubungan itu, Reduan Abdullah yang juga bekas pemain negara, berasakan tindakan FMLLP itu adalah bersesuaian bagi memberi isyarat jelas agar masalah sama tidak berulang.

"Yang penting, mereka perlu menjelaskan apa yang dikehendaki oleh FMLLP supaya perkara ini tidak berlaku. Sekiranya perkara ini dibuat dengan baik, ia tidak akan berlaku.

"Ia membuatkan mereka gusar kerana ada beberapa perkara yang belum selesai lagi," katanya.

Sementara itu, Rezal Zambery Yahya menyarankan persatuan atau kelab terbabit mengadakan perbincangan lanjut dengan FMLLP untuk pengurangan denda agar segala keputusan yang dicapai nanti tidak memberi kesan kepada pemain masing-masing.

"Apa yang kita lihat, FMLLP dan persatuan negeri cuba sedaya-upaya untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"Saya berpendapat perbincangan menjadi jalan terbaik untuk menyelesaikan segala masalah ini," katanya.

Daripada empat pasukan yang dikenakan denda dengan jumlah besar, RM1.5 juta, Kelantan paling terkesan di mana pasukan dari Pantai Timur itu turut terbabit dalam pemotongan enam mata.

Sementara itu, Pulau Pinang dan Kuantan FA yang dikenakan pemotongan enam mata pula didenda RM500,000 manakala Selangor juga dikenakan pemotongan tiga mata untuk hukuman tertangguh.