Tiga pemain dalam radar Cheng Hoe

By Staff Writer 31 July 2019 20404
Tiga pemain dalam radar Cheng Hoe
Tonggak tengah Perak, Brendan Gan dan J. Partiban, serta kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar, berada dalam radar ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, menjelang pusingan kelayakan kedua Piala Dunia Qatar 2022.

Kelibat ketiga-tiga pemain itu dalam final Piala FA minggu lalu tampak memikat hati Cheng Hoe untuk disenaraikan dalam skuad kebangsaan bagi aksi pertama berdepan Indonesia di laman lawan, 5 September depan.

Brendan dan Baddrol pernah membarisi skuad kebangsaan sebelum ini manakala Partiban mungkin akan melakukan penampilan pertamanya.

Tiga pemain itu dijangka diuji Cheng Hoe dalam aksi persahabatan dengan sebuah negara Timur Tengah sebelum berdepan Indoensia.

"Bagi saya, Baddrol Bakhtiar bermain dengan begitu baik.

"Saya bukan hanya bagi peluang kepada dia sahaja. Semua orang saya akan bagi peluang.

"Setiap pemain yang berpotensi, tidak kira pemain muda atau senior, semua akan diberi peluang jika bersesuaian dengan pasukan," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad B-19 negara, Brad Maloney, tidak gusar dengan kemampuan barisan muda negara biarpun gagal meraih sebarang kemenangan dalam aksi persahabatan berdepan tiga pasukan daripada Liga Perdana baru-baru ini.

Skuad remaja negara itu bebas daripada sebarang masalah kecederaan menjelang Kejohanan AFF di Bandaraya Ho Chi Minh minggu depan dan Maloney sudah mengenal pasti senarai 23 pemain yang akan diumumkan esok.

"Kemahiran asas dalam pasukan ini amat baik.

"Kami masih perlu memperbaiki aspek taktikal dan perkara-perkara seperti itu.

"Kami perlu menggabungkan kesemuanya untuk bergerak ke depan.

"Terdapat banyak bakat-bakat hebat di sini.

"Kami hanya perlu menggabungkan semua aspek dan harap-harap kami mampu untuk bersaing dengan kompetitif.

"Kami mahu berjaya dan akan melihatnya secara keseluruhan," katanya.
 

About Author

Staff Writer

Comment