Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, berhasrat untuk mengadakan sekurang-kurangnya tiga perlawanan persahabatan antarabangsa "A" sebagai persediaan menghadapi Piala Suzuki AFF, November ini.

Perancangan Cheng Hoe itu disuarakannya selepas selesai undian Piala AFF 2018.

Ia menyaksikan skuad negara diundi bersama juara 2008, Vietnam, di samping Myanmar, Kemboja dan Laos dalam Kumpulan A.

Menyedari ia bukan laluan mudah buat skuad negara, Cheng Hoe mengharapkan persiapan mantap dapat dilakukannya ke kejohanan itu.

"Saya akan berbincang dengan pihak pengurusan untuk mendapatkan tiga aksi persahabatan kerana kami perlu menilai prestasi pasukan ini," kata Cheng Hoe.

Saingan kali ini berbeza apabila penganjur menggunakan format dua aksi tempat sendiri dan dua aksi tempat lawan bagi saingan awal.

Mengakui perlu memanfaatkan aksi di laman sendiri, Cheng Hoe menjangkakan menentang Vietnam di tempat lawan sebagai ujian paling getir buat pasukannya nanti.

"Aksi berdepan Vietnam akan memberikan kesukaran tetapi setiap perlawanan adalah penting dan kami akan cuba memungut mata sebanyak yang mungkin."