Tianjin Quanjian sangkal khabar angin bawa masuk Iniesta

By Staff Writer 13 March 2018 864
Tianjin Quanjian sangkal khabar angin bawa masuk Iniesta
Kelab Liga Super China (CSL), Tianjin Quanjian, menafikan mereka sedang bersedia untuk menandatangani pemain Barcelona, ​​Andres Iniesta.

Pemain tengah Sepanyol, Iniesta, bersetuju dengan kontrak "seumur hidup" di Barca pada awal musim ini tetapi dikaitkan dengan perpindahan ke China, minggu lalu.

Beberapa laporan mendakwa Quanjian, akan membayar Iniesta €35 juta (RM168 juta) setiap tahun dan membeli sejumlah besar wain daripada pemain berusia 33 tahun itu bagi memeterai perjanjian.

Tetapi kelab itu mengeluarkan satu kenyataan yang menjauhkan diri mereka dengan khabar angin tersebut, dengan peraturan baru diperkenalkan Persatuan Bolasepak China bagi membendung perbelanjaan mewah semasa jendela perpindahan.

"Sejak 6 Mac 2018, beberapa media tempatan telah memetik laporan asing bahawa pemain Sepanyol, Andres Iniesta, akan menyertai kelab kami," kata kenyataan itu.

"Dengan ini, kami sesungguhnya mengumumkan bahawa laporan itu tidak benar. Berkenaan dengan semua cerita palsu tentang kami, kelab kami berhak mengambil tindakan undang-undang."

Tumpuan utama Iniesta seterusnya adalah aksi Liga Juara-Juara Barcelona menentang Chelsea, esok, dan dia selesai menjalani sebahagian sesi latihan hari ini bersama rakan sepasukannya selepas terlepas kemenangan di Malaga, Sabtu lalu, akibat kecederaan hamstring.

Skuad Ernesto Valverde itu akan menerima kunjungan juara Liga Perdana Inggeris itu di Camp Nou untuk aksi timbal balik pusingan 16 selepas terikat 1-1 dalam perlawanan pertama.

About Author

Staff Writer

Comment