Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafudin Idris Shah, enggan bersemuka dengan kumpulan yang telah mewujudkan suasana kurang harmoni dalam Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) selain tidak mengiktiraf kongres luar biasa (EGM), kelmarin.

Dalam sidang media yang diadakan di Istana Mestika hari ini, baginda mendedahkan sudah dua kali mahu berjumpa dengan kumpulan terbabit dalam mencari titik penyelesaian.

Namun, tindakan berani kumpulan itu mengadakan kongres tanpa restu membuatkan Tengku Amir amat murka, seolah-olah mereka mahu merosakkan bola sepak Selangor.

"Saya telah meminta untuk bertemu dengan kumpulan ini bagi sebanyak dua kali tetapi kami gagal membincangkan perkara ini dan gagal mencapai persetujuan," kata Tengku Amir.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon, menjelaskan EGM yang diadakan itu tidak sah.

Melalui statut FAS, mesyuarat EGM itu perlu dihadiri lebih daripada separuh daripada jumlah keseluruhan ahli gabungan yang kini mencecah 121.

Kelmarin, seramai 52 ahli gabungan mengadakan EGM untuk memilih ahli jawatankuasa eksekutif FAS yang baru tetapi masih mahu mengekalkan Tengku Amir selaku presiden.