Peguam kepada Neymar, Marcos Motta, mendedahkan bahawa tiada sebarang klausa penebusan kontrak bintang Brazil itu sebaik sahaja menyertai Paris Saint-Germain (PSG).

Pada musim panas lalu, PSG telah bersetuju untuk menebus klausa perpindahan Neymar di Barcelona yang bernilai EUR222 juta (RM1.08 bilion) untuk membawanya keluar dari Camp Nou.

Bagaimanapun, Real Madrid dilaporkan berminat untuk membawa semula Neymar ke LaLiga pada akhir musim ini, mendorong Motta membuat keputusan untuk mendedahkan kontrak di Parc Des Princes.

"Saya memberi jaminan bahawa tiada sebarang klausa perpindahan dalam kontrak Neymar bersama PSG," kata Motta kepada Radio Globo.

"Jika dia menamatkan musim sebagai penjaring terbanyak juga, ia tidak akan memberikan apa-apa kesan kepada kontrak asalnya."

Dalam masa sama, Motta juga memberitahu bahawa perbincangan untuk membawa Neymar ke Perancis telah lama berlangsung walaupun perpindahan itu dimuktamadkan pada Ogos lalu.

"Bapa kepada Neymar telah memberi pesanan buat saya pada pertengahan Julai untuk segera terbang ke Amerika Syarikat dan melengkapkan kontrak."

Semalam, Neymar mencipta sensasi dalam aksi Ligue 1 bertemu Dijon apabila menyumbat empat gol dalam kemenangan 8-0 PSG.