Terengganu FC (TFC) bangkit pada hujung perlawanan untuk menewaskan Pahang 4-2 dalam aksi pembuka tirai Kejohanan Empat Penjuru Piala Menteri Besar Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.​

Tuan rumah terlebih dahulu menguji pelawat dengan dua sepakan percuma pemain import, Lee Andrew Tuck, pada minit pertama dan minit ke-13 yang tepat ke dakapan Helmi Eliza Alias.

Bekas penjaga gol negara itu terus cemerlang menafikan rembatan Mohamad Ashari Samsudin di dalam kawasan berbahaya pada minit ke-25.

Seminit kemudian, Pahang mengejutkan TFC menerusi penyerang kelahiran Sweden, Phillip Hellquist, yang menolak masuk hantaran Mohamadou Sumareh dari sebelah kanan.

Kedudukan itu tidak bertahan lama selepas Ashari menyudahkan umpanan Kipre Tchetche untuk menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-29.

Tok Gajah memperkemaskan rentak pada babak kedua dan kembali mendahului pada minit ke-53 hasil jaringan bekas tonggak tuan rumah, Norshahrul Idlan Talaha.

Permainan semakin rancak apabila pertahanan baru TFC kelahiran Serbia, Igor Zonjic, menanduk kemas hantaran silang Andrew Tuck pada minit ke-57.

Tuan rumah mempamerkan bisa pada penghujung perlawanan dengan dua jaringan daripada Tchetche (m-89) dan Mohd Faiz Nasir (m-90), sekali gus menceriakan penyokong tuan rumah.

TFC seterusnya akan bertemu TFC II dalam aksi kedua, esok, manakala Pahang membuat perhitungan dengan Melaka United di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.