Jurulatih Felcra FC, Yusri Che Lah, berasakan kekalahan besar pasukannya dalam dua perlawanan persahabatan adalah pengajaran berguna buat pemainnya untuk tidak mudah leka dalam setiap perlawanan menjelang pembukaan tirai Liga Malaysia.

Felcra dibelasah Kuala Lumpur 5-1 pada 27 Disember lalu sebelum tewas 4-1 berdepan MISC-MIFA.

Namun, Yusri masih memandang positif dari sudut ketahanan mental pemainnya yang masih berusaha memberikan aksi terbaik sepanjang 90 minit meskipun lawan tampil dengan lebih kuat.

"Lagi bagus apabila kami kalah kerana baru kami tahu apa kelemahan kami.

"Jika kami menang, pemain mungkin sudah dalam keadaan terlalu bersedia. Dalam dua perlawanan terakhir ini, saya nampak banyak kelemahan yang perlu diperbaiki.

"Bagaimanapun, daripada segi kecergasan, pemain sudah berada di tahap terbaik untuk beraksi 90 minit," jelas Yusri.

Untuk dua lagi perlawanan persahabatan selepas ini -- menentang PNKP dan Kedah -- Yusri berharap pemainnya dapat cuba memberikan tentangan memandangkan lawan mereka adalah antara yang kuat dalam Liga Super.

"Barisan serangan sangat memerlukan penyerang berpengalaman kerana rata-rata pemain saya berusia bawah 22 tahun," tambahnya.