Carlos Tevez teruja untuk berdepan rakan senegara, Lionel Messi, apabila Boca Juniors menentang Barcelona dalam perlawanan Trofi Joan Gamper di Nou Camp.

Tevez bermain bersama pemenang Ballon d'Or lima kali, Messi, untuk Argentina dalam 76 penampilan di pentas antarabangsa.

Kini, Tevez akan bertemu semula dengan Messi di Barcelona, di mana gergasi Argentina, Boca, bakal berdepan juara LaLiga itu dalam aksi persahabatan esok.

"Ia sesuatu yang indah untuk berdepannya," kata Tevez.

"Ketika kami beraksi bersama, ia menggembirakan saya.

"Jadi berdepannya atau dapat melihatnya di pihak pasukan lawan, ia tetap menggembirakan saya."

Messi menjadi pemain Barcelona paling cemerlang apabila merangkul trofi ke-33 selepas menewaskan Sevilla 2-1 dalam aksi Piala Super Sepanyol hujung minggu lalu.