Persiapan T-Team menghadapi saingan Liga Super musim depan semakin terjejas ekoran kemungkinan kehilangan khidmat tonggak import, Makan Konate.

Menurut pembantu jurulatih The Titans, Mohd Azhari Salim, Konate mengalami kecederaan serius dan terpaksa diketepikan untuk tempoh yang panjang.

“Berdasarkan laporan perubatan, kecederaan lutut yang dialaminya sangat serius dan memerlukan pembedahan.

“Jadi, kemungkinan besar pasukan ini perlu menunggu lebih lama untuk Konate kembali beraksi.

“Sekiranya pembedahan itu dijalankan, khidmatnya mungkin terpaksa disisihkan untuk satu tempoh yang panjang.

“Kecederaan itu mula membelenggu pada penghujung saingan liga musim ini dan menjadi semakin teruk selepas aksi separuh akhir Piala Malaysia bertemu Selangor, bulan lalu.

“Ketika ini, Konate mendapatkan rawatan di negara asalnya (Mali). Namun, sekiranya masih gagal dirawat, tiada lagi aksi lincahnya bersama kami musim depan,” tambah Azhari.

Kecederaan perancang berusia 25 tahun itu terus menambah kesulitan pengendalinya, Rahmad Darmawan, dalam merencana skuad terbaik selepas kehilangan pemain demi pemain.

“Ini satu lagi berita buruk kepada T-Team, namun kami hanya akan membuat keputusan selepas kepulangannya (Konate) ke Kuala Terengganu.

“Dengan penghijarahan ramai tonggak utama, sudah tentu kami tidak sanggup kehilangan Konate pula.

“Cabaran ini akan tetap disahut Rahmad (Darmawan) untuk membariskan pasukan terbaik dan menentukan pemain-pemain musim depan,” ujarnya lagi.