Pengurus pasukan T-Team, Datuk Mohamad Kamil Othman, berbangga dengan pencapaian pasukan itu musim ini sambil menyifatkan keharmonian dan persefahaman dalam pasukan sebagai kunci kejayaan The Titans.

“Kami gembira dan seronok melihat sokongan berterusan daripada penyokong dan saya berterima kasih kepada peminat-peminat di Terengganu.

“Saya berharap ini dapat menepis persepsi bahawa T-Team adalah pasukan pelapis kerana kami ingin membuktikan kami adalah yang utama.

“Kejayaan musim ini cukup cemerlang, malah pencapaian ini satu kebanggan kami memandangkan pasukan ini bermula dari bawah.

“Pada pusingan pertama liga, kami menduduki kedudukan ketiga sebelum berehat panjang dan masih kekal konsisten sehingga kini untuk mara ke separuh akhir Piala Malaysia.

“Keharmonian dalam kalangan pemain, barisan kejurulatihan dan pihak pengurusan adalah kunci utama peningkatan T-Team.

“Hampir kesemua pemain dan jurulatih memahami antara satu sama lain, termasuk jurulatih (Rahmad Darmawan) dan pemain import seperti Maiga (Abdoulaye), Patrick (Cruz) dan (Makan) Konate yang fasih berbahasa Melayu kerana pernah beraksi di Indonesia.

“Semangat berpasukan juga menimbulkan keyakinan dalam diri mereka untuk tidak gentar bertemu mana-mana pasukan lawan.

“Kini kami mahu menang menentang Selangor dan mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia,” katanya yang ditemui selepas sesi bersama penaja T-Team, Kopi Jantan, di Gong Badak, petang semalam.

Sesi bersama pemain, jurulatih dan penyokong itu turut dihadiri Pengarah Urusan GLE Centre Entreprise, Mohd Zulkifli Harun.

“Sebagai tanda terima kasih, pihak kami menaja dua buah bas, minuman dan baju kepada penyokong untuk ke Shah Alam dan memberi sokongan kepada pasukan.

“Selain itu, kami turut memperuntukkan sehingga 30 tiket percuma untuk separuh akhir kedua nanti dengan beberapa peraduan dan pembelian produk kami.

“Selaku penaja, sudah tentu kami berharap T-Team mara ke final dan mencipta sejarah baharu bola sepak untuk T-Team buat kali pertama mara ke final dan seterusnya menjulang Piala Malaysia yang diidam-idamkan,” kata Mohd Zulkifli.