Skuad Harimau Malaya memulakan latihan pusat hari ini tanpa kelibat enam pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) dan juga pemain tengah Pahang, Nor Azam Azih, menjelang kelayakan Piala Asia berdepan Hong Kong, 10 Oktober ini.

Menurut pengendali kebangsaan, Nelo Vingada, pemain JDT akan melaporkan diri lewat petang ini kerana perlu menghadiri mesyuarat membabitkan kelab itu.

Sementara itu, Nor Azam mempunyai masalah peribadi membabitkan ahli keluarganya.

Begitupun, Vingada tidak berasa ketiadaan tujuh pemain itu menjejaskan sesi latihan hari ini.

"Pemain JDT terlibat dengan mesyuarat tetapi semuanya dalam keadaan teratur. Pemain-pemain yang melaporkan diri hari ini akan menjalani latihan ringan sebagai proses pemulihan," ujarnya.

Dalam masa sama, tonggak tengah skuad B-22, Syamer Kutty Abba, bertekad meraih keyakinan pengendali dari Portugal itu untuk aksi berdepan Hong Kong.

Ini adalah tugasan pertama Syamer bersama skuad senior negara dan pemain Pulau Pinang itu mengakui sedia diturunkan bagi membantu barisan negara.

"Pengalaman sulung saya bersama skuad kebangsaan semuanya berjalan lancar.

"Walaupun formasi yang diterapkan Vingada berlainan, itu tiada masalah buat saya.

"Saya bersedia untuk tugasan pertama ini, Insya-Allah saya akan dapat menyesuaikan diri dengan segera," tambahnya.