Muhammad Syahid Zaidon tidak mendabik dada selepas menjaringkan gol cantik yang merintis laluan untuk Felda United mengejutkan kelab Filipina, Ceres Negros FC, 3-0, dalam saingan Piala AFC di Stadium Shah Alam, semalam.

Syahid, yang dipilih pemain terbaik perlawanan, meledak rembatan cantik dari luar petak penalti pada minit keenam untuk meletakkan skuadnya di depan.

Penyerang itu, bagaimanapun, pantas menepis pujian yang diberikan, sebaliknya menganggap gol itu terhasil menerusi bantuan rakan-rakan.

"Semua memainkan peranan. Daripada bawah hingga ke atas, semuanya memainkan peranan penting untuk gol tersebut," katanya.

Gol awal Felda itu menyebabkan Ceres hilang tumpuan dan sukar untuk kembali bersaing dan ia diakui sendiri jurulatihnya, Risto Vidakovic.

"Mereka menjaringkan gol baik pada permulaan perlawanan," katanya. "Kami harus menukar rancangan selepas jaringan pertama itu dan ia membuatkan kami dalam kesukaran."

Dua lagi gol Felda disumbangkan Hadin Azman pada minit ke-65 dan pemain gantian, Fazrul Hazli, menuju minit akhir perlawanan bagi memastikan tiga mata buat Felda.

Ia juga membolehkan Felda melonjak ke tangga kedua dengan mengumpul lima mata, tiga mata di belakang pendahulu Kumpulan G, Hanoi FC.

"Saya rasa pemain mendapat keyakinan selepas perlawanan ini dan saya yakin kami akan melayakkan diri ke pusingan kedua," kata jurulatih Felda United, B. Sathianathan.