Pertahanan berdarah campuran Malaysia-England, Nicholas Swirad, tidak "menjanjikan bulan dan bintang" selagi keberkesanannya dalam skuad kebangsaan tidak diuji sepenuhnya.

Kelibat pemain kacukan Pulau Pinang-Manchester itu mencuri tumpuan dalam sesi latihan pertama skuad kebangsaan di Padang Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Dengan kredibilitinya bersama pasukan PKNS FC, ramai beranggapan Swirad mampu mencetuskan impak seperti mana yang dilakukan Matthew Davies untuk menjadi pemain berdarah campuran paling berjaya dalam skuad kebangsaan.

"Saya sudah beraksi selama dua tahun dalam Liga Super dan sudah mula mengenali pemain tempatan.

"Saya menyedari mereka adalah pemain yang baik dan tahu apa yang telah dilakukan mereka dalam kejohanan sebelum ini.

"Ia sudah pasti di luar ruang selesa saya, namun saya akan mencabar diri untuk memberikan yang terbaik," katanya.

Swirad, bagaimanapun, mahu keberkesanannya diakui ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe, sebelum dia menyahut sebarang tugasan penting bagi memperbaiki ranking Harimau Malaya ke kelompok 34 terbaik Asia

"Ia sama sahaja. Pasukan ini telah beraksi baik dalam Piala Suzuki AFF.

"Jika kehadiran saya dapat memberikan impak positif dalam pasukan, saya bersedia untuk melakukannya.

"Saya tidak mahu menjanjikan apa-apa.

"Saya hanya mahu berusaha keras dan memberikan yang terbaik buat pasukan," tambahnya.

Terdahulu dalam sesi latihan di Padang MSN, hanya 22 pemain menyertai skuad kebangsaan dengan dua pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Syazwan Andik Ishak dan Hazwan Bakri, serta tonggak Pahang, Davies, akan melaporkan diri esok.