PERAK 2 KEDAH 1

Perak melakar kejuaraan hatrik dalam acara bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) 2018 apabila menidakkan cabaran Kedah 2-1 dalam final di Stadium Perak, sebentar tadi.


Kedah lebih mengawal rentak permainan sejak babak pertama, namun segala usaha mereka gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan.

Amaran pertama Kedah yang dibimbing Viktor Andrag menjelma pada minit ke-24 menerusi tandukan Aiman Afif Afizul yang menggegar palang, disusuli tandukan tipis Aminuddin Abu Bakar yang sipi melintasi pintu gol.

Sepakan percuma ketua pasukan, Fadzrul Daniel Nizam, juga sempat mencetuskan reaksi cemas tuan rumah.

Situasi itu memaksa ketua jurulatih Perak, Chan Wing Hong, untuk mengeluarkan penyerang utama, Derek Leong Wei Jiang, untuk digantikan dengan Izzat Ramlee, tujuh minit sebelum babak pertama berakhir.

Pada minit ke-64, Kedah akhirnya berhasil memecahkan kebuntuan apabila sepakan percuma Fadzrul memerangkap penjaga gol, Nasrullah Abdul Aziz.

Gol itu sebaliknya merangsang kebangkitan Perak. Biarpun masih kekal memperagakan hantaran tinggi, Alif Safwan Sallahuddin melonjak di tengah-tengah pertahanan lawan bagi menghasilkan tandukan padu untuk mengikat kedudukan, berselang empat minit.

Perak meraikan gol kedua apabila Asyraaf Mat Pushni memanfaatkan situasi kelam kabut di dalam kotak penalti untuk merobek gawang lawan menerusi tendangan rendah.

Biarpun dihadiahkan sepakan percuma pada masa kecederaan, gerakan itu masih gagal mengubah nasib Kedah untuk terus kempunan meraih emas dalam tempoh 32 tahun.

Sementara itu, Sabah membawa pulang gangsa apabila menewaskan Terengganu 2-1 dalam aksi penentuan tempat ketiga, petang tadi.