Pengendali skuad B-22 negara, Frank Bernhardt, memberi bayangan awal pasukan yang akan menyertai Kejohanan Piala Dubai bakal menjadi sandaran utama bagi menghadapi temasya Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos depan.

Bernhardt hari ini mengumumkan senarai 23 pemain bagi mewakili pasukannya untuk menghadapi kejohanan berkenaan yang akan bermula tiga hari lagi.

Ternyata skuad kali ini perlu membuktikan mengapa mereka layak bagi merebut tempat dalam skuad akhir Sukan SEA nanti.

Ini merupakan kali pertama pasukan kendalian Bernhardt akan beraksi dalam suasana pertandingan dan itu bakal menjadi antara penilaian bagi menguji kemampuan mereka.

Skuad negara berlepas ke Dubai hari ini, sehari lebih awal daripada jadual asal.

"Ketika ini, ramai pemain yang mengalami kecederaan.

"Lima pemain pasti terlepas saingan Sukan SEA akibat kecederaan tapi kami perlu berdepan situasi ini dengan menggantikan mereka dengan pemain lain.

"Buat masa ini, inilah pasukan terbaik yang dapat dibentuk," katanya.

Sementara itu, penjaga gol skuad B-22 negara, Ifwat Akmal Che Kassim, mengakui persaingan sengit di bahagian benteng terakhir pasukan.

Selain Ifwat yang mewakili Kedah, Bernhardt turut menyenaraikan dua lagi penjaga gol, iaitu Muhammad Haziq dan Ahmad Syihan Nazmi Mohamad, masing-masing dari Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kelantan.

"Pasukan-pasukan yang beraksi dalam Kejohanan Piala Dubai pun agak hebat, jadi kami akan cuba memberikan yang terbaik di sana.

"Kesemua penjaga gol negara juga di tahap baik, ia persaingan yang sihat untuk merebut tempat.

"Jika diberi peluang, tak kira siapa pun, kami akan memberikan yang terbaik," kata Ifwat.