Setiausaha Agung, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC,) Datuk Windsor Paul, hanya menunggu pertimbangan Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Indonesia (INASGOC) berhubung undian semula sukan bola sepak untuk temasya itu.

Ia berkaitan dengan aduan daripada dua pasukan, iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Palestin, yang tiada dalam senarai ketika undian 5 Julai lalu dan AFC menegaskan undian semula perlu dijalankan.

"AFC telah diminta oleh OCA dan INASGOC untuk melakukan undian semula dan kami akan melakukan undian semula selepas menerima arahan secara rasmi," kata Windsor.

Sementara itu, lain pula cerita daripada Timbalan Pengerusi Kanan INASGOC, Harry Warganegara, yang menegaskan pihaknya ketika ini turut berada dalam situasi yang sama dan hanya menunggu isyarat daripada OCA dan AFC berhubung pertimbangan untuk undian terbuka atau terhad.

"Cadangan kami adalah melakukan undian yang melibatkan Palestin dan UAE sahaja," kata Harry.

Jika mengikut kelangsungan INASGOC, mereka lebih memihak kepada undian terhad yang hanya melibatkan UAE dan Palestin namun ia masih belum rasmi.