Selepas melewati proses undian Sukan Asia awal bulan ini, ada kepincangan melibatkan dua pasukan yang tidak termasuk dalam proses undian, sekali gus menyaksikan kemungkinan proses undian semula akan dilakukan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Isu terlepas pandang dua pasukan, iaitu Palestin dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), ketika undian bola sepak awal bulan ini, meletakkan skuad B-23 negara berada dalam persiapan carca-marba sebelum ke Sukan Asia.

Jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee, menggesa pihak penganjur, INASGOC dan AFC agar segera melakukan undian semula ketika acara sebenar bakal berlangsung kurang sebulan sahaja lagi.

Keadaan akan bertambah rumit seandainya Malaysia di undi bersama Arab Saudi dan China -- ketika perancangan aksi persahabatan sebelum ke Jakarta sudahpun disahkan kedua-dua pihak.

"Saya berharap pihak penganjur serta AFC dapat mengadakan undian dalam kadar segera sebagai persiapan kesemua pasukan yang beraksi," kata Kim Swee.

Disebabkan permasalahan ini, ia telah melambatkan lagi proses aturan jadual perlawanan menjelang saingan yang bermula 14 Ogos depan.

"Jika kita diundi semula dan mungkin terpaksa beraksi dengan China dan Arab Saudi, kami perlu membuat persiapan bagi menghadapi lawan ini."