Pengendali skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, mengubah perancangannya untuk skuad Sukan Asia 2018 apabila membatalkan hasrat merekrut barisan pemain B-21, sebaliknya mahu membawa pemain B-23 ke temasya itu.

Perubahan itu susulan wujudnya jurang yang agak ketara mengenai kemampuan skuad B-21 dan B-23 berdasarkan penilaiannya ketika sesi pemilihan pemain B-21, Mac lalu.

Ia turut menyaksikan Kim Swee membuat keputusan menarik diri daripada saingan Piala Ulang Tahun PSSI di Indonesia, bulan lalu.

Ditanya mengenai kemungkinan membariskan pemain B-23 yang cemerlang dalam Kejohanan AFC, China, Januari lalu, untuk temasya Sukan Asia, ini reaksi beliau: "Kami mahu membariskan skuad yang terbaik dengan kehadiran tiga pemain lebih umur bagi menghadapi Sukan Asia."

Mengulas mengenai perancangannya untuk persediaan ke temasya berkenaan, Kim Swee menjelaskan ia bergantung kepada berapa ramai pemain B-23 akan dipanggil menyertai skuad senior yang dijangka menjalani latihan pusat, Julai ini.

"Saya berharap setiap pemain dapat dilepaskan untuk menjalani latihan bagi memastikan kami mampu mara jauh di Jakarta nanti," katanya lagi.

Imej: Asiana