Calon timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Subahan Kamal, menerima pencalonan untuk kongres pemilihan persatuan itu bulan depan kerana ikhlas masih mahu menyumbang kepada bola sepak negara.

Subahan, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang baru, turut mahu mengembalikan detik cemerlang bola sepak negara dari 2009 hingga 2011 yang
menyaksikan dua pingat emas Sukan SEA serta satu kejuaraan Piala Suzuki AFF diraih barisan negara.

Ketika itu, Subahan juga adalah Naib Presiden FAM dan pengurus skuad kebangsaan.

Namun, Subahan menyerahkan kepada ahli gabungan untuk membuat pemilihan mereka.

“Jika mahu berada di FAM tetapi sekadar memanaskan kerusi, lebih baik berikan kepada pihak lain. Sebagai naib presiden, kami harus bertindak mendapatkan dana buat persatuan,” kata Subahan.

Subahan juga tiada masalah bekerjasama dengan mana-mana calon yang mendapat kepercayaan ahli gabungan sebagai presiden FAM walaupun FAS sebelum ini jelas tampak memberikan sokongan kepada Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Selangor akan memberikan sokongan kepada Tunku Ismail, tiada kepentingan peribadi. Tindakan drastik harus dilakukan.”