Merujuk kepada kongres terdahulu, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Subahan Kamal, adalah calon paling hampir untuk dipilih selaku pemangku presiden merujuk kepada kelebihan undian dalam kongres terdahulu.

Namun ekoran isu dalaman yang berlaku ketika Tunku Ismail masih bergelar presiden menjadikan situasi Subahan untuk terpilih adalah sukar.

"Kita tahu wujud masalah di antara Tunku Ismail dan Subahan yang mempunyai percanggahan pendapat, misi dan visi.

"Sebab itu, untuk memastikan strategi di sebalik Tunku Ismail dalam memastikan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kekal relevan, sudah tentu Datuk Wira Yusoff Mahadi memiliki kelebihan," kata pemerhati bola sepak negara, Rizal Hashim.

Dalam situasi semasa, Datuk Wira Yusoff Mahadi sendiri menyatakan kesediaan untuk menerima jawatan pemangku sekiranya mendapat persetujuan penuh daripada ahli exco dalam mesyuarat khas, pada Isnin.

"Yang memangku tugas ini akan menjalankan tugas sehingga Julai nanti apabila Kongres FAM bersidang.

"Apa yang pasti, dalam tempoh empat bulan ini, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh presiden," kata Rizal lagi.