Pengendali Barcelona, Ernesto Valverde, berkata dia tidak akan meminta Luis Suarez untuk mengawal tahap agresif walaupun berdepan risiko digantung daripada beraksi di pentas final Piala Raja Sepanyol.

Penyerang Uruguay itu kini telah mengutip lapan kad kuning dalam semua kejohanan dan sekiranya dia menambah jumlah itu dalam aksi separuh akhir Piala Raja Sepanyol menentang Valencia pada awal pagi esok, dia bakal terlepas aksi final pada April ini.

Suarez tidak dapat beraksi dalam perlawanan akhir musim lalu ketika menundukkan Deportivo Alaves selepas diperintah keluar padang ketika saingan separuh akhir bertemu Atletico Madrid.

Namun, Valverde berpendapat bekas penyerang Liverpool itu kini berada pada tahap terpenting bahagian serangan pasukannya.

"Saya telah bercakap dengan Suarez tentang cara dan perwatakannya. Tahap agresif yang dimilikinya ketika menyerang, bagaimana dia mendapatkan ruang dan jaringan, segalanya bagus buat pasukan walaupun kadangkala ia boleh membawa kepada layangan kad.

"Kini kami di separuh akhir dan Suarez berpengalaman. Kami akan memberikan segalanya untuk menang dan hanya akan memikirkan masa depan di kemudian hari," kata Valverde.

Barca bakal membawa bekalan satu gol menjelang aksi kedua separuh akhir di Mestalla, awal pagi esok.