Pengendali Uruguay, Oscar Tabarez, yakin isu kontroversi melibatkan Luis Suarez dalam Piala Dunia 2014 telah membuatkan penyerang itu semakin matang.

Suarez digantung selama empat bulan daripada sebarang aksi bola sepak selepas didapati menggigit pertahanan Itali, Giorgio Chiellini, ketika saingan peringkat kumpulan, empat tahun lalu.

Bagaimanapun, situasi itu tidak menghalang Barcelona daripada mendapatkan Suarez dari Liverpool dan penggempur berusia 31 tahun itu menikmati musim yang cemerlang di Camp Nou.

Suarez akan mengetuai barisan serangan Uruguay bersama Edinson Cavani menjelang aksi pertama peringkat kumpulan berdepan Mesir malam ini dan Tabarez yakin penyerang itu telah matang.

"Suarez hadir ke Russia sebagai pemain yang telah matang. Saya mengenalinya sejak 2006," ujar Tabarez.

"Apa yang berlaku di Brazil telah membantunya menjadi pemain yang leih baik. Dia sangat pintar dan telah bersedia daripada segi mental.

"Berbekalkan persekitaran yang baik, dia menjadi pemain utama pasukan."

Tabarez bakal mengemudi Uruguay dalam Piala Dunia yang keempat dan bekas pengendali Boca Juniors itu percaya pasukannya cukup pengalaman dan kualiti untuk menikmati saingan di Russia.

"Saingan peringkat kumpulan kali ini sangat sengit, ditambah dengan elemen persahabatan dan ketua yang bagus.

"Saya gembira mempunyai kelompok pemain yang sangat baik," ujarnya lagi.