Penyerang Barcelona, Luis Suarez, mengalami kecederaan lutut dalam aksi kedua Piala Super Sepanyol menentang Real Madrid, sekaligus berkemungkinan terlepas perlawanan pembukaan LaLiga musim 2017/18 menentang Real Betis.

Barca mengesahkan Suarez akan menjalani ujian hari ini untuk mengesahkan tahap kecederaan tersebut.

Lebih memeritkan, kecederaan itu dialami ketika skuad kendalian Ernesto Valverde terlepas peluang untuk meraih kejuaraan pertama musim ini selepas tewas 5-1 menerusi agregat.

Selepas kehilangan Neymar yang berhijrah ke Paris Saint-Germain (PSG), ketiadaan Suarez sudah pasti memberikan masalah kepada barisan depan Barca.

“Suarez mengalami kecederaan lutut selepas berlaga ketika beraksi.

"Bagaimanapun, kami perlu menunggu sehingga ujian selesai untuk mengesahkan sebarang perkara,” kata Valverde.