Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustafa, kecewa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak seiring dengan isu yang melanda KLFA ketika ini.

Jelas Nokman, kata sepakat telah dicapai di antara FAM dan KLFA dengan memberi jalan buat pengurusan KLFA menyelesaikan masalah dalaman tanpa campur tangan pihak lain.

Ia persetujuan melibatkan KLFA dan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, awal tahun lalu.

Bagaimanapun, perkara sebaliknya berlaku apabila Setiausaha Agung FAM, Stuart, dilihat mula campur tangan menerusi beberapa kenyataan media.

"Sepatutnya Stuart perlu berbincang dengan pihak KLFA. Kami telah bertemu Stuart dan menerangkan setiap perkara dan dia menyerahkan hal ini kepada pihak persatuan bagi menyelesaikannya," kata Nokman.

Tambah Nokman, surat tunjuk sebab melibatkan individu yang mengadakan sidang media tanpa kebenaran KLFA juga akan dihantar selewat-lewatnya esok.

Antara yang terlibat adalah Datuk Hazian Murad, Datuk Ramlan Askolani dan Datuk Mohamad Irwan Rizal Mohd Alinapiah.

"Terdapat beberapa individu yang memburukkan dan mahu menjatuhkan KLFA. Saya tidak tahu apa masalah mereka yang membuat laporan palsu terhadap kami dan telah merujuk kepada FAM hingga mereka terpengaruh."