Percaturan pengendali berpengalaman Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, pada 45 minit kedua jelas menjadi pemisah selepas pasukan itu menang 2-0 ke atas Kuantan FA dalam aksi Liga Perdana di Kuala Terengganu, malam tadi.

“Saya mengarahkan pemain-pemain merubah rentak permainan, malah mereka berbincang di bilik persalinan untuk mencari gol semangat dan hasilnya gol pertama dicipta pada awal babak kedua.

“Ketika pasukan lawan menguji barisan pertahanan kami dengan lontaran jauh Ljubo Baranin, saya juga memberitahu pemain agar mengeluarkan bola dengan segera,” ujarnya.

Babak pertama berlangsung seimbang dengan pelawat terlebih dahulu menguji kubu Terengganu seawal minit pertama menyaksikan percubaan pemain importnya, Shunsuke Nakateke, digagalkan Amierul Hakimi Awang.

Dua minit kemudian Issey Farran Nakajima berpeluang meletakkan tuan rumah di depan, namun sepakannya ditepis penjaga gol Kuantan FA.

Tandukan pertahanan Terengganu, Mohd Izuan Jarudin, yang menerima sepakan penjuru Lutfulla Turaev pada minit ke-16 pula sedikit tinggi melepasi palang gol pasukan lawan.

Bersambung babak kedua, Issey tidak mensia-siakan hantaran K. Partiban dengan menyudahkan bola muntah selepas tandukan awalnya gagal ditangkap kemas Mohd Sheril Anuar Saini pada minit ke-47.

Partiban hampir mencetak nama selaku penjaring dalam penampilan sulung musim ini, malangnya rembatan leretnya sekadar mengenai tiang gol sebelum Abdul Latif Suhaimi menjadikan kedudukan 2-0 dengan menyudahkan sepakan percuma Turaev pada minit ke-62.

Kuantan cuba mencari gol pertama menerusi percubaan Nakateke (m-73) dari luar kotak penalti tetapi gagal menemui sasaran serta dua percubaan Baranin di penghujung perlawanan diselamatkan Amierul Hakimi, yang beraksi cemerlang malam tadi.

“Masih terlalu awal untuk menentukan perjalanan liga namun ada sedikit peningkatan malah kami menggunakan sebaiknya kesempatan tiga perlawanan di gelanggang sendiri.

“Prestasi Issey juga semakin baik walaupun terlepas beberapa peluang baik untuk menjaringkan lebih banyak gol.

“Kami perlu melupakan kemenangan ini dan memberi perhatian dalam aksi Piala FA selepas ini serta perlawanan bertemu pendahulu liga, Negeri Sembilan, minggu depan,” kata Irfan lagi.

Selepas tiga perlawanan, Terengganu kini di tangga kedua liga dengan mengumpul sembilan mata dan hanya dipisahkan perbezaan jaringan dengan Negeri Sembilan.