Pengendali England, Gareth Southgate, mendedahkan bahawa Raheem Sterling telah meminta maaf kepada semua rakan sepasukannya selepas lewat melaporkan diri ke kem latihan.

Bintang Manchester City itu sepatutnya menyertai pasukan pada Selasa lalu, namun terpaksa hadir lewat setelah pesawat yang dinaikinya dari Jamica berdepan status penangguhan beberapa kali.

Dia menjadi sasaran kontroversi pada minggu ini selepas dilihat mengenakan tatu ukiran rifle pada kaki kanannya.

Bagaimanapun, Southgate lega melihat Sterling telah kembali bersama pasukan England dan kini menumpukan perhatian menjelang aksi pemanas badan Piala Dunia 2018 bertemu Nigeria di Wembley, awal pagi esok.

"Dengan rendah diri, dia memohon maaf kepada seluruh pasukan, menjanjikan komitmen buat pasukan dan segalanya selesai," kata Southgate.

"Semua orang telah melupakannya. Ia adalah sebahagian daripada perbincangan panjang kami ketika berjalan bersama.

"Dia diberikan tempoh sehingga Selasa malam tetapi hanya tiba pada awal pagi Rabu. Jadi, dia terlewat. Kami telah berbincang dan meneruskan fokus masing-masing," ujarnya.

Sterling dijangka menjadi salah seorang pemain utama buat The Three Lions di Russia dan Southgate tidak mahu mendedahkan sebarang hukuman yang mungkin timbul buat pemain sayap itu.

"Kami telah berbincang dan mencapai kata sepakat. Apa yang boleh saya katakan, dia berlatih dengan hebat.

"Dia tidak sabar untuk menghadapi kejohanan dan meraih kejayaan bersama pasukan. Bagaimanapun, saya memberikannya sedikit masa untuk dia memahami kepentingan untuk melaporkan diri lebih awal."