Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur yang terletak di Cheras dijangka hampir boleh digunakan oleh skuad Warga Kota selepas diperiksa sepenuhnya Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) kelmarin.

Hanya satu syarat yang perlu dipenuhi Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), iaitu penambahbaikkan bilik persalinan yang perlu diselesaikan sebelum pemeriksaan seterusnya pada 15 Januari ini.

Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa, berkata perkara asas seperti pencahayaan lampu dan padang sudah berjaya memenuhi syarat minimum yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Nokman turut mendedahkan dua pasukan lain, PDRM FC dan UKM FC, turut berminat menggunakan Stadium Kuala Lumpur sebagai gelanggang tuan rumah di pentas Liga Perdana.

"Dalam bilik persalinan, ia memerlukan papan putih, peti ais dan kipas. Kipas penting pada masa rehat kerana mereka (pemain) tidak memerlukan penghawa dingin. Kami akan melihat kepada perkara itu," katanya.

Mengenai perkembangan pasukan, Nokman menjelaskan pemain dari Singapura, Baihakki Khaizan, berada dalam dilema untuk menyertai Kuala Lumpur.

Katanya, pemain berusia 34 tahun itu turut mendapat tawaran lima bulan untuk bersama kelab di Arab Saudi, Jeddah Club, tetapi turut menyatakan keinginan datang ke skuad Warga Kota.

"Dia ada menghubungi saya dua hari lalu. Dia memberitahu berminat untuk bermain bersama Kuala Lumpur.

"Cuma, dia sedang memikirkan satu tawaran daripada Jeddah. Dia memerlukan dua, hari untuk membuat keputusan," ujarnya.