TOTTENHAM HOTSPUR 2 NEWPORT COUNTY 0

Peluang beraksi dalam perlawanan ulangan di tempat sendiri digunakan sebaik-baiknya oleh Tottenham Hotspur apabila membenam Newport County 2-0 di Stadium Wembley bagi aksi ulangan pusingan keempat Piala FA, awal pagi tadi.


Selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam pertemuan pada 28 Januari lalu, ternyata Spurs yang kini mencatat sembilan aksi tanpa kalah berada dalam kelas tersendiri untuk menghancurkan harapan skuad yang kini menduduki tangga ke-11 carta Liga Dua itu.

Bermain di depan penyokong sendiri, Spurs hampir dikejutkan pelawat ketika aksi berusia 10 minit apabila hantaran lintang Robbie Willmott memberikan ruang buat Padraig Amond untuk melakukan percubaan, namun tandukan penyerang berusia 29 tahun itu melewati palang gol.

Sebaliknya, skuad bimbingan Mauricio Pochettino itu terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-26.

Gerakan Harry Winks di depan kotak penalti membolehkan Moussa Sissoko melakukan hantaran ke tengah tetapi bola terkena kaki pertahanan Newport, Dan Butler, sebelum memasuki gawang tatkala penjaga gol, Joe Day, hanya mampu melihat.

Tersentak dengan gol pembukaan, Newport cuba mengatur gerakan bagi mencari jaringan penyamaan, namun perkara sebaliknya berlaku apabila Spurs terus menambah gol kedua, lapan minit kemudian.

Larian pemain sayap Korea Selatan, Son Heung Min, memperdayakan tiga pemain pertahanan sebelum melorongkan bola untuk Erik Lamela melepaskan rembatan leret kaki kiri dan membuatkan Day tewas buat kali kedua.

Separuh masa kedua menyaksikan peluang demi peluang dicipta Spurs tetapi ketumpulan penyudah menyaksikan kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan itu menyaksikan Spurs mengesahkan tempat dalam pusingan kelima dan bakal berdepan Rochdale pada 18 Februari ini.